14/6/2008
(Sabtu)
Antara detik indah yang tidak mungkin dilupa..Tanggal 14 Jun yang lalu, program rehlah akhawat ke negeri Perlis telah dianjurkan. Objektif utama program ini sudah tentulah untuk mengeratkan ukhuwah di samping melawat tempat-tempat menarik di sana. Aktiviti sebegini sememangnya penting terutama buat diriku yang masih terlalu mentah (w/pun umur dah tua) dan apa yang nyata..perjalananku masih jauh..dan inilahdetik permulaannya.
Seperti yang dirancang, kami berkumpul di Tadika Nur Tasneem, Alor Star pada jam 7.30 pagi. Aku mula berdebar apabila melihat begitu ramai akhawat yang telah tiba..Tidak lama kemudian, ajk mula memberikan taklimat dan membahagi-bahagikan kami mengikut kenderaan. Aku ditempatkan bersama ukhti faz, ukhti fatimi dan anak-anaknya hajar dan maryam. Akhawat juga diberi keratan Hadith ke-20 daripada Matan Arba’in Imam Nawawi untuk dihafal oleh semua akhawat sepanjang permusafiran kami ke negeri Indera Kayangan. Ukhti Junainah telah mengetuai bacaan doa memohon agar perjalanan kami diberkati dan dilindungi Allah.
Rombongan kami bertolak pada pukul 8 pagi dan melibatkan 7 buah kereta serta kira-kira 45 orang peserta termasuk kanak-kanak. Destinasi pertama yang dituju ialah Gua Kelam. Alhamdulillah kami tiba di sana lebih kurang jam 10 pagi. Kemudian, akhawat sarapan bersama-sama. Pada waktu inilah aku berpeluang mengenali akhawat sedikit demi sedikit. Aneh..memang aneh,
selalunya aku hanya menyertai program yang melibatkan rakan sebaya tapi kali
ini..kalau nak diikutkan para peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Dari sekecil-kecilnya..bayi ukhti Hasrah yang berusia 5 bulan hinggalah ukhti
Junainah yang pada hematku muda sedikit sahaja daripada ibuku. Semua akhawat sangat ramah dan kelihatan gembira walaupun kebanyakannya baru bertemu buat pertama kali. Entah mengapa aku rasakan perasaan yang begitu aneh..gembira dan tenang sekali!
Usai melepaskan penat dan mengisi perut, perjalanan menelusuri Gua Kelam pun bermula. Jambatan kayu yang didibina merentasi Gua Kelam menjadi laluan kepada kami dalam menghayati keindahan ciptaan Illahi. Deruan air di bawah jambatan yang mendasari batu-batuan gua dengan pelbagai corak, bentuk dan warna menjadi binaan yang begitu gah dan mempersonakan. Kami memuji-muji tanda kebesaran Allah SWT..subhanallah! Tidak dilupakan juga hafazan hadith yang diberikan sebentar tadi.
Kemuncak perjalanan merentasi Gua Kelam adalah aktiviti mandi-manda di sungai berhampiran gua tersebut. Sudah pastinya anak-anaklah yang paling gembira apabila dapat bermain di dalam air yang dingin. Di sini juga akhawat diuji dengan acara kuiz sirah Rasulullah yang berkaitan dengan gua. Ukhti Bija menggungguli acara ini kerana tak putus-putus mengangkat tangan dan menjawab soalan yang diutarakan. Di samping bergembira, kami dapat menambah pengetahuan berkenaan sirah.
Rombongan bertolak menuju ke Bukit Ayer pada pukul 1 tengah hari namun perancangan terpaksa dibatalkan kerana kami tersesat jalan. Akhirnya atas persetujuan ramai, kami terus ke Taman Ular Negeri Perlis yang merupakan Taman Ular yang menghimpunkan paling banyak spesis ular di Malaysia. Seterusnya, kami makan tengahari di sini dengan pelbagai lauk pauk yang cukup menyelerakan yang dibawa oleh akhawat. Kami menggunakan kaedah ‘potluck’ untuk menu makan tengahari kami bagi meminimakan kos. Kelihatan ukhti Murizah sibuk menyediakan kerabu sotong yang enak sekali.
Acara selepas makan tengahari adalah menukar hadiah di mana akhawat mencabut nombor masing-masing dan menerima hadiah mengikut nombor yang telah diperolehi. Walaupun acara ini berjalan dalam suasana yang sangat sederhana namun ia tetap meriah dan yang paling penting adalah keikhlasan setiap akhawat dalam memberi dan menerima hadiah masing-masing.
Selepas solat, kami menuju ke destinasi terakhir iaitu Kuala Perlis. Di sana akhawat mencuba aneka menu yang ada di situ. Ada yang memilih sate, laksa,
sotong goreng tepung dan pelbagai menu yang lain. Kembara kami ke negeri Perlis diakhiri dengan rakaman foto sebagai kenang-kenangan. Kami mula bergerak pulang meninggalkan Kuala Perlis pada jam 7.00 malam. Semoga kembara ini meningkatkan lagi rasa kebersamaan, ukhuwah dan kasih sayang diantara akhawat. Sesungguhnya inilah detik yang indah dalam hidupku..detik yang memutikkan kemesraan dan kasih sayang yang sejati..Alhamdulillah!




