Di celah-celah kesibukan cuti sekolah, Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan negeri Kedah buat julung-julung kalinya telah berjaya menganjurkan Sukan Remaja Muslimah (SURE MUSLIMAH!) pada 14 Mac 2009 yang lalu. Program yang mempertandingkan sukan bola jaring ini telah diadakan di gelanggang bola jaring Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR), Jitra, Kedah.
Menariknya,
program yang memberi fokus kepada integrasi antara pembangunan sukan dan jalinan ukhuwwah ini telah disertai oleh 38 orang pelajar muslimah daripada beberapa buah sekolah sekitar Alor Star dan Jitra. Antara sekolah-sekolah yang terlibat adalah Maktab Mahmud Alor Star (MMAS), Maktab Mahmud Pokok Sena (MMPS), Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang.
Tirai program SURE MUSLIMAH! dibuka seawal jam 7.45 pagi dengan pendaftaran daripada para peserta, di mana lima buah kumpulan telah dibentuk
daripada bilangan peserta yang mendaftar. Selesai proses pendaftaran dan sarapan, para peserta diberi sedikit tazkirah ringkas mengenai Islam dan Sukan yang telah disampaikan oleh saudari Noorhafizah Binti Ismail. Program seterusnya dihangatkan dengan sesi pemanasan badan iaitu ‘Poco-Poco’ serta taklimat ringkas mengenai pertandingan menyusul sejurus selepas selesai acara kegemaran ramai itu.
Pertandingan
yang bermula tepat jam 9.25 pagi itu telah menyaksikan kelima-lima
kumpulan bermain secara liga dengan penuh semangat kesukanan dan
ukhuwwah yang tinggi. Sebanyak tujuh pusingan dijalankan, dan akhirnya
dimenangi oleh kumpulan dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA JUNIOR). Tempat kedua dan ketiga pula berjaya dirangkul oleh Maktab Mahmud Alor Star dan SAINA (SENIOR). Upacara perasmian penutup dan penyampaian
hadiah telah disempurnakan oleh Ustazah Junainah Jaafar yang juga merupakan Ketua Wanita ISMA Kedah.
Walaupun berlangsung cuma setengah hari, namun program ini telah berjaya
mencapai objektif yang ditetapkan iaitu untuk menjalin silaturrahim dan mewujudkan medium pertemuan antara remaja muslim sekitar Alor Star dan Jitra selain menggarap massa secara amnya. Pihak jawatankuasa program SURE MUSLIMAH! ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada individu-individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan tenaga dan kewangan bagi menjayakan program ini. Sehingga ALLAH memberikan kemenangan kepada kita atau kita syahid keranaNya. Jazakumullahu khairan kathira.

