KRIM Kedah dengan kerjasama YADIM telah menganjurkan program Wacana Motivasi Remaja 2009 pada 9-11 April 2009 di University Inn UUM, Sintok. WMR09 merupakan siri kedua yang merupakan kesinambungan daripada WMR08. Alhamdulillah YADIM sekali lagi sudi bekerjasama dengan KRIM dalam penganjuran ini.
Program bermula dengan pendaftaran pada pukul 3.00 petang, namun seperti biasa ana (ubah kata ganti diri..nak praktis sbb slalu tersasul masa meeting) tiba di University Inn pada jam 6.30 petang kerana Khamis adalah hari bekerja. Jzkk kepada akhawat lain yang mengambil alih tugas ana semasa pendaftaran. Seramai 105 peserta daripada 13 buah sekolah mengambil bahagian yang terdiri daripada sekolah berasrama penuh, MRSM, Sekolah agama dan penyertaan individu. Setibanya di sana, para peserta baru selesai taklimat program. Kemudian mereka makan malam dan diberi masa untuk hemat diri sebelum solat Maghrib dan slot ceramah pada malam itu. Ana turut menerima sebuah bilik yang selesa dan dikongsi bersama ukhti Bija.
Usai solat Maghrib, para peserta bergegas ke Dewan Sri Tamar. Pada waktu ini, pembahagian kumpulan dijalankan. Para peserta turut diajar dengan lagu tema WMR09 iaitu Gelombang Keadilan nyanyian kumpulan Shoutul Haraqah. Seterusnya ialah Slot Ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Azman. Penyampaian beliau yang menarik serta bertenaga memberi semangat kepada para peserta. Hujan yang lebat diluar tidak langsung mengganggu tumpuan para peserta. Pada waktuini, ana mengambil peluang untuk berjumpa dengan semua fasilitator untuk memberi taklimat ringkas kepada mereka. Alhamdulillah fasilitator yang dijemput memberi komitmen yang tinggi. Selepas itu, para peserta minum malam dan terus menuju ke masjid untuk solat Isyak. Kemudian, mereka dibenarkan untuk berehat di bilik masing-masing. Para AJK dan fasilitator berkumpul untuk sesi feddback untuk hari pertama. Sebarang masalah dan persoalan berbangkit diutarakan dan cuba diselesaikan agar tidak berulang pada keesokannya.
Hari kedua bermula seawal jam 5.30 pagi..fasilitator ditugaskan mengejutkan anak buah masing-masing. Tugas ini agak sukar memandangkan peserta diletakkan di bilik yang berasingan dan berjauhan. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah kebanyakan peserta yang hadir adalah pemimpin pelajar di sekolah masing-masing, maka mereka telah bersedia lebih awal dan tahap disiplin mereka amat membanggakan. Sesi solat dan kuliah subuh berlangsung di masjid. Kemudian, para peserta dan fasilitator serta ajk bersama-sama melakukan riadhah pagi. Selepas sarapan pagi, slot forum kerjaya dan kepimpinan diadakan di dalam dewan.Seperti biasa, lagu tema akan dinyanyikan
terlebih dahulu untuk membangkitkan semangat. Ustaz Arif..seorang motivator
yang merupakan ahli ISMA bertindak sebagai moderator. 3 barisan panel telah
dijemput iaitu Dr. Zulkifli Pakar ENT di Hospital Sultanah Bahiyah yang juga
merupakan Yang Dipertua ISMA Kedah. Panel kedua ialah Ustaz Kasyfi yang
merupakan seorang ustaz di SMK Agama Kedah dan panel ketiga adalah Pn.
Zaireen..seorang jurutera Petronas yang juga ahli ISMA. Forum yang menarik
diselang seli dengan sesi soal jawab merupakan medan untuk para peserta
merungkaikan permaslahan yang membelenggu mereka.
Selepas makan tengah hari, para peserta bersiap-siap untuk solat Jumaat baik lelaki mahupun perempuan. Kemudian, slot Motivasi Alam bersama Ustaz Arif bermula..para peserta diminta berada di dalam kumpulan masing-masing. Mereka ditugaskan untuk keluar dari dewan untuk mencari ciptaan Allah yang boleh dicontohi sifat kepimpinannya. Para peserta perlu bekerjasama untuk menyiapkan bahan untuk slot presentation nanti. Slot presentation adalah yang paling dinanti-nantikan. Pada waktu ini, bakat mereka sebagai pemimpin amat terserlah. Hampir semua yang membuat pembentangan memberikan idea-idea yang bernas dan kebolehan mereka berkomunikasi amat mengagumkan.
Banyak ciptaan Allah yang dipilih seperti semut, pokok, matahari, batu, air dan
sebagainya. Ana secara peribadi amat berbangga dengan anak-anak muda ini yang insyaAllah bakal menjadi generasi pewaris kepimpinan yang akan datang.
Usai solat Maghrib dan makan malam, para peserta dihidangkan dengan slot bersama Ustaz Ridhuan yang turut membakar semangat mereka. Selepas minum malam, slot muhasabah diri diselitkan untuk masing-masing memperbaiki diri sendiri. Slot ini dikelolakan oleh wakil dari YADIM iaitu Ustaz Imran. Setelah peserta dibenarkan berehat, seperti biasa sesi feedback AJK dan fasilitator diadakan. Pada malam ini, banyak perkara dibincangkan dengan lebih terperinci.
Hari terakhir bermula seperti biasa dengan solat Subuh. Namun bezanya, pada kali ini seorang peserta diberitanggungjawab untuk memberikan tazkirah yang bukan sahaja untuk para peserta bahkan jemaah yang datang ke masjid. Subhanallah ana sekali lagi berasa kagum dengan penyampaian tersebut..tak ubah seperti ustaz yang telah berpengalaman. Cukup lengkap isi dan nas-nas yang disampaikan. Alhamdulillah.. Kemudian riadhah pagi bermula. Selepas sarapan pagi, slot LDK diadakan. Pada waktu ini, para peserta diminta berbincang tentang permasalahan yang kerap timbul di sekolah dan bagaimana mereka menyelesaikannya. Semuanya dikongsi semasa presentation.
Tamatnya sesi pembentangan para peserta, majlis penutup diadakan yang disempurnakan oleh wakil YADIM. Penyampaian sijil dan cenderahati kepada peserta turut diadakan. Kemudian sesi perpisahan diadakan. Masing-masing bersalaman untuk mengeratkan lagi sillaturrahim dan ukhuwwah bersama. Selepas makan tengah hari dan solat Zohor para peserta pulang ke sekolah masing-masing. Alhamdulillah..akhirnya WMR09 elah selesai dijalankan. Walaupun terdapat kelemahan dalam penganjuran ini, insyaAllah akan
diperbaiki dari semasa ke semasa. Jzkk kepada YADIM yang sudi bekerjasama dan memberikan sponsor yang besar dalam program ini. Jzkk juga kepada para
fasilitator yang sanggup meluangkan masa untuk bersama-sama dalam menjayakan program ini. Semoga usaha kita ini deberkati..Amin
Di celah-celah kesibukan cuti sekolah, Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan negeri Kedah buat julung-julung kalinya telah berjaya menganjurkan Sukan Remaja Muslimah (SURE MUSLIMAH!) pada 14 Mac 2009 yang lalu. Program yang mempertandingkan sukan bola jaring ini telah diadakan di gelanggang bola jaring Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR), Jitra, Kedah.
Menariknya,
program yang memberi fokus kepada integrasi antara pembangunan sukan dan jalinan ukhuwwah ini telah disertai oleh 38 orang pelajar muslimah daripada beberapa buah sekolah sekitar Alor Star dan Jitra. Antara sekolah-sekolah yang terlibat adalah Maktab Mahmud Alor Star (MMAS), Maktab Mahmud Pokok Sena (MMPS), Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang.
Tirai program SURE MUSLIMAH! dibuka seawal jam 7.45 pagi dengan pendaftaran daripada para peserta, di mana lima buah kumpulan telah dibentuk
daripada bilangan peserta yang mendaftar. Selesai proses pendaftaran dan sarapan, para peserta diberi sedikit tazkirah ringkas mengenai Islam dan Sukan yang telah disampaikan oleh saudari Noorhafizah Binti Ismail. Program seterusnya dihangatkan dengan sesi pemanasan badan iaitu ‘Poco-Poco’ serta taklimat ringkas mengenai pertandingan menyusul sejurus selepas selesai acara kegemaran ramai itu.
Pertandingan
yang bermula tepat jam 9.25 pagi itu telah menyaksikan kelima-lima
kumpulan bermain secara liga dengan penuh semangat kesukanan dan
ukhuwwah yang tinggi. Sebanyak tujuh pusingan dijalankan, dan akhirnya
dimenangi oleh kumpulan dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA JUNIOR). Tempat kedua dan ketiga pula berjaya dirangkul oleh Maktab Mahmud Alor Star dan SAINA (SENIOR). Upacara perasmian penutup dan penyampaian
hadiah telah disempurnakan oleh Ustazah Junainah Jaafar yang juga merupakan Ketua Wanita ISMA Kedah.
Walaupun berlangsung cuma setengah hari, namun program ini telah berjaya
mencapai objektif yang ditetapkan iaitu untuk menjalin silaturrahim dan mewujudkan medium pertemuan antara remaja muslim sekitar Alor Star dan Jitra selain menggarap massa secara amnya. Pihak jawatankuasa program SURE MUSLIMAH! ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada individu-individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan tenaga dan kewangan bagi menjayakan program ini. Sehingga ALLAH memberikan kemenangan kepada kita atau kita syahid keranaNya. Jazakumullahu khairan kathira.

Sumber: Laman web ISMA www.ismaweb.net
Perang Badar disebut juga sebagai “Yaum Al Furqan” iaitu Hari Pembeza. Selain itu ia juga disebut “Yaum Altaqaal Jam’aan” iaitu Hari Pertemuan Dua Kelompok antara pasukan Allah Ar Rahman dengan pasukan syaitan.
Pada hari itu, musuh Allah, Abu Jahal bersumpah tidak akan kembali ke rumahnya sehingga ia benar-benar mengalahkan Muhammad S.A.W. dan para sahabatnya. Ia berseru kepada kaumnya, “Aku tidak hanya sekadar memerintahkan salah seorang dari kamu untuk membunuh salah seorang dari mereka, tapi bunuhlah mereka semuanya. Kita ingin mengajar akibat tindakan mereka meninggalkan agama kamu dan akibat mereka membenci sembahan yang ditinggalkan oleh orang-orang tua mereka.”
Dapatkah kita memahami situasi yang ada ketika itu? Bagaimana kemarahan yang membumbung di langit–langit Badar. Bagaimana kesombongan yang begitu luar biasa bersemayam dalam hati orang-orang yang memusuhi kebenaran. Bagaimana keangkuhan mereka seperti menginjak-injak para pembela kalimat Allah.
Kemarahan, kesombongan dan keangkuhan itu ternyata tidak lama. Hanya satu atau dua jam saja peperangan, kemudian mereka lari tunggang langgang ketakutan.
Ingatkah kita ketika pasukan Parsi berhadapan dengan kaum Muslimin dalam peperangan Al Qadisiyah? Itulah angkatan perang terbesar di dunia ketika itu. Jumlah pasukannya ratusan ribu orang, lengkap dengan segala jenis persenjataan dan kuda-kuda perang yang terlatih.
Hari pertama pertempuran, Rustum, panglima perang Parsi berkata di atas kudanya, “Hari ini kita akan hancurkan mereka sehancur-hancurnya”. Seorang pembantunya mengingatkan, “Belum tentu seperti itu, katakanlah, “Jika Tuhan mengizinkan” . Tapi Rustum menjawab, “Tidak, meskipun Tuhan tidak mengizinkan” .
Di saat kedua belah pasukan bertemu, Rustum tertawa melihat pasukan Muhammad S.A.W. yang berjumlah sedikit dan persenjataan yang dianggap buruk. Pertempuran pun berlangsung dan hanya beberapa hari berlangsung pasukan Rustum lari dari medan tempur kerana tidak mampu menghadapi kaum Muslimin.
Cuba kita bandingkan jumlah tentera dan kelengkapan persenjataan di antara kedua pasukan yang kini bertemu di medan Gaza. Pasukan pertahanan Israel (IDF) memiliki sekurang-kurangnya 176,000 askar, 875 jet berkelajuan supersonik, ratusan helikopter penggempur, 2,800 kereta kebal dan 1,800 senjata artileri.
HAMAS hanya memiliki paling banyak 20,000 pejuang. Tiada jet pejuang, tiada helikopter dan tiada kereta kebal. Mereka hanya mempunyai roket Al Qassam, Al Banna dan Al Yassin yang diubahsuai daripada roket Rusia PG-2 (mampu hancurkan kereta kebal Merkava dalam jarak 500 meter). Paling jauh roket-roket HAMAS boleh pergi ialah sekitar 55 kilometer di Bandar Sderoth, tetapi tidak cukup untuk sampai ke markas tentera haram Israel. Namun dalam keadaan sedemikianpun Israel belum mampu untuk menewaskan HAMAS.
Perhatikanlah firman Allah S.W.T. dalam surah Al Kahfi, ayat 18, “Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan diri dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi ketakutan terhadap mereka”.
Cuba kita amati ayat di atas bagaimana yang lazim terjadi adalah seseorang merasa takut lebih dahulu kemudian baru lari ketakutan tapi ayat di atas justeru menggambarkan kebalikannya iaitu lari dulu baru merasakan ketakutan. Keadaan ini muncul dalam situasi ketakutan yang bukan kepalang. Di saat seseorang tercengkam dengan kengerian yang begitu dahsyat. Ketika seseorang melihat kematian ada di hadapannya, ia akan lari ke mana sahaja tanpa tujuan. Ia akan terus berada dalam keadaan seperti itu sehingga ia cuba meninggalkan kawasan berbahaya yang akan mengancam dirinya.
Begitulah situasi yang dialami pasukan musuh Islam ketika menghadapi kaum Muslimin dengan lari tunggang langgang meninggalkan segala perbekalan tanpa arah tujuan dan hanya memikirkan bagaimana cara untuk menghindarkan diri mereka dari wilayah ketakutan yang begitu mencengkam.
Begitu pula apa yang berlaku di Gaza. Walaupun sudah 18 hari mereka mengganas di Gaza, Alhamdulillah mereka masih tidak mampu menguasainya walaupun dibantu oleh ribuan tentera, pelbagai senjata canggih termasuk kimia.
Kemenangan tidak harus bersandarkan besarnya jumlah. Kemenangan tidak selalu disandarkan kepada kualiti persenjataan. Rangkaian peperangan yang dimenangkan oleh kaum Muslimin bukan selalunya kerana jumlah dan kekuatan senjata. Yang dimiliki kaum Muslimin adalah `senjata’ yang menakutkan yang boleh mengalahkan urusan jumlah dan persenjataan musuh.
Kita ditolong oleh Allah S.W.T. dengan munculnya rasa takut dalam hati musuh-musuh Islam seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T. didalam surah Al Anfal , ayat 12 yang ertinya, “(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkanlah (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku hunjamkan rasa takut dalam hati orang-orang kafir…”
Dari manakah kita memperolehi senjata seperti itu? Jawapannya adalah, taat kepada Allah dan Rasulnya, bersatu dan berpadu dalam kalimat Allah dan berjuang dengan mengorbankan apapun yang kita miliki supaya tersebarnya agama ini. Di sanalah, Allah S.W.T. akan membuktikan janjiNya, “Dan Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Perkasa.” (QS Al Hajj : 40).
Jika kita benar-benar pasukan Allah, maka Allah pun akan mengirimkan pasukanNya untuk kita dan di antara pasukan Allah itu adalah kemunculan rasa takut di hati musuh-musuh Islam.
Semoga Allah S.W.T. sentiasa memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para mujahidin Palestin yang terdiri dari pejuang HAMAS atau dari organisasi lain dalam meninggikan panji Allah dan menjaga kehormatan bangsa Palestin dan kaum Muslimin dalam melawan orang-orang yang paling keras permusuhannya dengan kaum Muslimin, iaitu Zionis Yahudi sepertimana yang disebut dalam Al Quran surah Al Maaidah ayat 82, “Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik.”
Selama mana mereka semua berniat untuk meninggikan kalimat Allah maka mereka adalah para mujahidin di jalan Allah yang seharusnya mendapat dokongan dari seluruh kaum Muslimin lainnya dari setiap jengkal bumi Allah ini.
Allah telah memuliakan mereka dengan jihad. Allah telah meninggikan mereka dengan syahid di jalanNya dan Allah juga telah menjanjikan mereka dengan dua ganjaran terbesar samada kemenangan atau syurga.
Jadikanlah kejadian yang melanda Palestin, khususnya Gaza ketika ini sebagai wasilah untuk menyatukan seluruh umat Islam. Lepaskanlah seluruh pakaian yang selama ini banyak menghiasi kaum Muslimin dunia seperti ashobiyah(kesukuan) , etnik, kedaerahan, mazhab, jamaah dan parti politik untuk kita mengenakan satu pakaian yang jauh lebih indah dan mulia iaitu pakaian Islam. Satu pakaian yang diikat dengan tali aqidah dan sesuai dikenakan oleh seluruh umat Islam di mana pun ia berada dan dari mana pun ia berasal.
Ingatlah satu hadis yang diriwayatkan dari Hudzaifah di mana Rasulullah S.A.W. bersabda, “Barangsiapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin maka dia bukan dari golongan mereka (kaum Muslimin).”
( HR Ath Thabrani)
Alhamdulillah..tanggal 31 Januari 2009, Mesyuarat Agung Perwakilan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah dilaksanakan dengan jayanya di Auditorium SIRIM, Shah Alam. Setelah melepasi beberapa halangan dan kekangan akhirnya dengan izin Allah S.W.T aku berjaya mencuri masa untuk menghadirkan diri ke majlis ini. Walaupun hanya sebagai pemerhati dan bukannya perwakilan namun kehadiranku ke sini sedikit sebanyak memberikan pengalaman dan tarbiyyah yang amat berharga buat diriku.
Kami bertolak seawal jam 4.00 pagi dari Tasnim Alor Star dengan ‘Grand Livina’ Ustaz Yus. Rombongan dari Kedah terdiri daripada 4 buah kereta yang terdiri daripada perwakilan dan juga pemerhati. Kami berhenti solat Subuh di Hentian Tapah dan kemudian meneruskan perjalanan ke Shah Alam. Kami tiba agak lewat iaitu 9.30 pagi namun kami bernasib baik kerana majlis dimulakan agak lewat. Selepas pendaftaran, kami diberikan tag nama dan dibenarkan masuk ke auditorium.
Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Halim bin Abdullah, Naib Presiden ISMA bagi mewakili Presiden, Ustaz Abdullah Zaik yang masih lagi berada di Gaza atas misi kemanusiaan Aman Palestin.
Antara nikmat yang paling berharga ialah pertemuan dengan akhawat-akhawat dari seluruh negara yang mebibitkan pertalian ukhuwah diantara kami. Kesempatan ini diambil untuk berkenalan dan bertukar-tukar pendapat di antara satu sama lain. Inilah juga medan yang memberikan tunjuk ajar tentang selok belok kepimpinan kepada generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan ini kelak.
Mesyuarat berakhir pada jam 6.00 petang dan sebelum itu, kami menyanyikan lagu tema ISMA beramai-ramai. Laungan takbir turut bergema bagi menutup tirai AGM pada kali ini.
Kami bertolak pulang kira-kira jam 7.00 petang dan berhenti solat serta makan malam di Hentian Tapah. Rombongan kami tiba di Tasnim Alor Star pada jam 1.30 pagi..Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
Shah Alam, 10 Januari - Kira-kira 10 ribu orang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam bagi mengambil bahagian dalam Rapat Umum Selamatkan Gaza anjuran bersama Aman Palestin dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Rapat umum ini diadakan untuk menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza yang tertindas dan melaungkan penentangan terhadap tindakan ganas Israel.
Rapat umum ini menyaksikan para perwakilan daripada parti politik, NGO dan wakil Gaza menyampaikan pidato-pidato yang kesemuanya menyeru umat Islam di Malaysia agar bangun memberikan bantuan dan sumbangan kepada saudara-saudara seIslam di Palestin. Pengerusi Eksekutif Aman Palestin yang juga Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman telah membacakan ‘Deklarasi Rapat Umum Selamatkan Gaza’ yang kemudiannya ditandatangani oleh semua perwakilan. Beliau dengan lantang mengutuk tindakan ganas rejim Israel ke atas penduduk Gaza dan menyeru seluruh umat Islam membantu rakyat dalam apa jua cara.
Wakil penceramah daripada parti politik tempatan, NGO dan wakil Palestin juga tidak kurang hebatnya menghangatkan stadium dengan ceramah berapi mereka dan disambut laungan ‘Allahuakbar’ oleh ribuan hadirin yang membanjiri stadium.
Selepas ceramah, orang ramai bergerak ke luar dewan untuk menyertai acara melontar kasut-kasut ke arah patung Bush, Olmert dan Tzipi Livni sebagai simbolik menyatakan kebencian terhadap penjenayah-penjenayah perang tersebut. Orang ramai yang marah tidak hanya membaling kasut malah memukul dan memijak-mijak patung tersebut sehingga berkecai.
Acara seterusnya ialah pelepasan 200 buah kereta yang bertampal pelekat ’selamatkan Gaza’ yang akan mempromosikan kempen ini ke seluruh tempat.
Alhamdulillah..kempen ini telah berjaya mencapai matlamatnya walaupun dikendalikan sdalam masa yang singkat berkat kesabaran dan semangat membara daripada semua pihak. Pihak penganjur berharap dunia akan merasai kebangkitan umat Islam atas dasar persaudaraan dan menyatukan kita semua.
Thursday, January 22, 2009
“Enti sudi jadi isteri kedua ana?” tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka enta sudah beristeri! enta jahat! Sanggup mempermainkan hati ana. Enta ingat ana tiada maruah? Hah!” pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
“Ana ingat kita lama berBM, enta masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fulanah mula sebak.
“Tak. Maksud ana……… ……… ……… ……… ……… ……… ……… ……… ……… ……… ……… …………”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fulanah dengan kasar.
“Enta nampak macam alim, tapi sanggup menipu ana. Dan enta sanggup melamar ana menjadi isteri kedua enta.Enta ingat ana ni siapa?” suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Fulanah’ di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini.
Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya yang berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
“ Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang Muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai Muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fulanah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.
Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian.
Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fulanah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun.
Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.
“Enti sudi jadi isteri kedua ana?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.
“Err, err, betul ke ni?!” tergagap Fikri apabila menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
“Kenapa ana?” tanya Fikri ingin tahu.
“Ana ingin membantu gerak kerja dakwah enta,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut hati kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, menghadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
“Perjuangan!!” jawab Fikri.

Sedarlah semua kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan,
Bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini…
Tetapi anda adalah bakal isteri kedua!!!
Kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!!!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu…
Adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan Islam
Bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu!
Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu…
Dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan Islam!
Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah hakikat…
Anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya
Atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu!!!
Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya,
Kerana suami yang pertama bagi isterimu…
Ialah perjuangan Islam dan memartabatkannya!
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai Islam dan memperjuangkan Islam.
Jika dirimu tidak sedemikian,
Sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu!
Bantulah isterimu dan kuatkanlah dia untuk teruskan perjuangan!! !
Gencatan senjata telah diumumkan oleh Israel terhadap Palestin (kononnyalaa..entah sampai bila ia bertahan..mungkin hanya beberapa hari, kemudian bumi Palestin akan kembali dihujani darah)..Boikot nak berhenti ke? Tidak!! Ayuh semua..teruskan memboikot barangan Israel dan semua yang ada hubungkait dengannya..
“Alamak susahla nak boikot..semua pun barang yang selalu guna”. Hmm..mula-mula memang susah..mulakan dengan memboikot coke, KFC dan adik beradiknya, McD serta Starbuck..Ini bukan barang keperluan. Tak mati pun kalau tak makan..betul tak?
Cakap-cakap juga..orang yang bagitau ni pun susah nak buat..nak boikot nokia..tapi handphone sendiri nokia..takpala..yang penting niat kita mesti betul..tak dapat boikot semua..boikotla sekadar yang termampu..InsyaAllah usaha ini ada hasilnya..
Sensitifkah kita?
Satu soalan yang perlu disoal dalam diri setiap insan bergelar muslim.
Sensitifkah kita tatkala saudara-saudara kita bertarung nyawa menyelamatkan maruah agama dan tanah air?
Sensitifkah kita ketika musuh-musuh Islam bergembira dengan setiap titisan air mata dan darah yang tumpah di bumi Palestin?
Air mata mereka…terasakah kita? sensitifkah kita??
Di saat saudara-saudara kita dalam keperitan..kapayahan..kita? Apa yang kita lakukan?
Hanya berdiam diri? Pasrah..
atau yang lebih teruk..hanya meneruskan hidup seperti biasa..
tanpa rasa bersalah..tanpa rasa simpati..
“aah apa nak kisah..bukan negara kita..Palestin tu jauh dari negara kita”
Kata-kata muslim yang langsung tidak sensitif
“kesiannya..apa kata kita anjurkan konsert amal..selamatkan Gaza!”
astaghfirullah..matlamat tidak menghalalkan cara..dapat kutip derma..maksiat pula bermaharajalela..
Lihatlah anak-anak muda kita..sensitifkah mereka? Sensitifkah kita?
Wahai muslimin muslimat semua…buka minda..lakukan sesuatu..
Berdoalah untuk kesejahteraan ummah..terutamanya saudara-saudara kita di Palestin
Usah biarkan maruah umat Islam terus dipijak-pijak oleh mereka yang durjana..
Islam akan terus gemilang…hidup palestin..hidup ummah..hidup Islam! Allahuakbar!
Beberapa hari selepas kem lepasan SPM..kami semua dikejutkan dengan satu berita..jihah akan meninggalkan kami dan berhijrah ke Sabah. Hijrah di bulan Muharram! Beratnya hati nak melepaskan jihah, namun kami pasrah akan ketentuan Illahi..Mungkin ini yang terbaik buat jihah dan buat kami terutamnya aku untuk lebih berdikari selepas ini.
Jika dihitung..perkenalan aku dan jihah hanya berlangsung selama 6 bulan..tetapi Allah telah tautkan hati kami hinggakan tempoh 6 bulan itu seakan-akan 6 tahun. Perkenalan ini mengajar aku erti persahabatn sebenar..Nyata sekali perkenalan atas dasar akidah melebihi segala-galanya..
Ada hikmah disebalik segala yang Allah tetapkan. Jihah adalah insan terpilih yang ditentukan Allah untuk meneruskan perjuangan dakwah di sana. Mungkin banyak rintangan dan cabaran yang bakal ditempuh namun aku yakin dia mampu mengatasinya..
Walau berat hati kami..namun kami redha. Nasihat kak Syahirah..usah ditangis perpisahan ini..ini adalah permulaan detik perjuangan buat jihah sendiri dan juga buat kami semua. Semoga perpisahan ini adalah perpisahan yang diredhai Allah..Kenangan indah bersama akan kekal bersemi selamanya..Selamat berjuang sahabatku!
Hembusan bayu yang bertiup
Bersama deruan ombak
yang memukul pantai
Hatiku sayu bila mengenangkan
Perpisahan yang tiada diundang
Bertahun kita melangkah bersama
Seia cita-cita buat bekalan ke sana
Harapan ayah bonda janji pada agama
Kitakan terus mara biarpun
badai yang datang melanda
Kita hanya mampu berusaha
Hanya Allah menentukannya
segalanya adalah milik-Nya
Dalam berusaha kita diuji
Terkadang tohmah kita dicaci
Diturutkan rasa hati ingin
dilepaskan beban ini
Mujur ada teman membantu
Sokonganmu buat inspirasi
Berpeganglah pada janji
kita yang dibina
Semoga bersama kitakan dirahmati
Oh teman….
(lagu yang mengiringi pemergian jihah)










